Header Ads

Loading...

Baliklah Ke Pangkal Jalan, Nasihat Anak Najib Kepada Dr Mahathir


NAZIFUDDIN Najib, anak lelaki Perdana Menteri Najib Razak malam ini memujuk musuh ayahnya, Dr Mahathir Mohamad untuk mengenang legasi Perdana Menteri Kedua Malaysia Abdul Razak Hussein dengan kembali kepada Umno.

Cucu Razak itu berkata jika Dr Mahathir benar-benar menghargai legasi Razak, beliau akan melindungi Najib seperti mana Najib mempertahankan Dr Mahathir ketika Krisis Umno 1987 yang menyebabkan parti orang Melayu itu diharamkan.

“Bentengilah Najib sebagaimana beliau membentengi Dr Mahathir dalam krisis politik negara pada tahun 1998 sehingga mencetuskan gerakkan reformasi menjelang PRU10 pada tahun 1999,” tulis Nazifuddin dalam akaun media sosialnya itu.

Ayahnya, Najib pernah menjadi anak didik Dr Mahathir tetapi kini menjadi sasaran serangan bekas perdana menteri dan gabungan pembangkang yang diterajuinya, Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir.

Loading...


“Andai kata Dr Mahathir benar-benar menyayangi Razak, biarlah hidup umpama Razak: bersama Umno hingga ke nafas yang terakhir.

“Razak bawa Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno untuk mengukuhkan, mempertahankan dan menjulang Umno menerajui Malaysia di persada dunia. Bukan untuk menghancurkan Umno.

“Dr Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan; iaitu laluan yang Razak telah rintis untukmu menjadi insan ke-4 menjadi perdana menteri Malaysia,” tulis Nazifuddin lagi.

Razak yang menjadi perdana menteri pada 1970 hingga 1976 adalah individu bertanggungjawab menerima Dr Mahathir kembali ke dalam Umno pada 1972 selepas beliau dipecat parti pada 1969.

Ketika itu, Dr Mahathir sangat lantang menentang Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman.

Nazifuddin berkata beliau membaca ulasan isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang mengatakan perkembangan kerjaya politik suaminya sehingga menjadi perdana menteri adalah kerana sumbangan Razak.

“Ya, itu benar kerana Razak yang bertanggungjawab membawa Dr Mahathir kembali menyertai Umno pada tahun 1971 setelah disingkirkan keahlian Umno pada tahun 1969 oleh Tunku Abdul Rahman.

“Namun sejak kebelakangan ini; tingkah laku, perbuatan dan kata-kata yang Dr Mahathir lemparkan kepada Najib Razak amat mendukacitakan, keterlaluan dan menyisihkan prinsip etika seorang mantan perdana menteri,” katanya lagi.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri sejak 1981 hingga 2003 keluar daripada Umno pada 2016 susulan dakwaan korupsi yang sudah dinafikan Najib.

Negarawan berusia 93 tahun itu membentuk parti politik pembangkang, Bersatu pada tahun yang sama.

Beliau turut dinamakan sebagai calon perdana menteri pembangkang sekiranya mereka berjaya menakluk Putrajaya pada PRU14.

Sumber: The Malaysian Insight

No comments

Loading...