Header Ads

Loading...

Apakah Pakatan Tiada Calon PM Selain Tun M, Soal Anina


KUALA LUMPUR: Jawatan Perdana Menteri sementara yang mungkin diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan Pakatan Harapan tidak mempunyai calon yang lebih baik daripada bekas perdana menteri itu.

Presiden Empirical Malaysia Anina Saadudin menegaskan, ia sekali gus mencerminkan gabungan pembangkang tersebut sebenarnya tidak ada hala tuju dalam memimpin negara.

Menurutnya, jelas kini dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutamanya, tiada 'winnable candidate' yang boleh diangkat sebagai calon perdana menteri untuk memenangkan Pakatan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah dua calon mudah kalah atau KO bagi calon PM dalam Pakatan.


Loading...

"Sekiranya pembangkang benar-benar mahu membawa wadah berjuang untuk rakyat, tidak masuk akal sama sekali untuk mereka membawa kembali bekas perdana menteri keempat itu.

"Apakah Pakatan sendiri sudah ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berbakat atau hak pemimpin-pemimpin muda yang berbakat ini memang sengaja disekat?" soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, cadangan untuknya menjadi calon perdana menteri seandainya Pakatan memenangi PRU kelak hanya akan terlaksana sekiranya keempat-empat komponen gabungan itu menyetujuinya.

Beliau yang juga pengerusi Pakatan berkata, sekiranya terdapat keputusan sepakat antara PPBM, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP, barulah ia boleh digunakan dalam manifesto PRU nanti.

Dalam pada itu, Anina mendakwa, langkah tersebut sebenarnya juga menunjukkan pembangkang tidak mempunyai pilihan atau alternatif dalam memberi tawaran kepada rakyat.

"Akhirnya, terpaksa mengambil langkah memperkenalkan strategi perdana menteri interim ini. Tiada siapa yang menafikan Dr Mahathir adalah pemimpin hebat pada eranya. Namun, rakyat boleh berfikir dengan matang siapakah yang bakal mengantikan pemimpin ulung berusia 93 tahun ini nanti.

"Sekiranya Pakatan yang dilaungkan sebagai hebat dalam slogan 'Selamatkan Malaysia', adakah mereka tidak memiliki 'winnable candidate' lain sebagai calon PM?

"Adakah rakyat perlu turun ke peti-peti undi pada PRU14 untuk bersandar pada harapan yang rapuh? PRU bukan satu perjudian nasib rakyat. Setiap satu undi rakyat adalah satu undi untuk masa depan rakyat," ujarnya.

Langkah itu juga, dakwa Anina, dilihat sebagai satu penipuan yang dilakukan secara terang-terangan kepada rakyat Malaysia.

"Mana tidaknya, meletak seseorang calon perdana menteri, kemudian apabila menang, mahu digantikan dengan individu yang sudah dua kali dihukum penjara.

"Ini satu kerja gila yang tidak pernah dilakukan. Malah, ini juga satu rekod dunia yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana parti pembangkang dalam dunia," tegasnya.


Secara jelas, tambahnya, pembangkang kini berada pada fasa ketandusan pemimpin yang boleh diharapkan untuk memimpin negara.

"Mereka tidak ada tawaran yang segar kepada rakyat. Jika ini tawarannya, meletak perdana menteri interim, mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat berfikir dua kali.

"Jika ini keputusan muktamad pembangkang, kita tidak melihat arah tuju negara untuk tempoh beberapa tahun mendatang.

"Bukan sahaja mereka tidak mampu menjadi pengganti kerajaan sedia ada, mustahil juga untuk mereka memiliki clean governance," katanya.

Empirical Malaysia ditubuhkan dan diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 27 Oktober 2017.

Asas penubuhan Empirical adalah memperjuangkan agenda ekonomi Melayu yang merupakan subset kepada agenda politik Melayu.

- Astro Awani

No comments

Loading...
loading...