Header Ads

Loading...

ANAK Dakwa 30% Generasi Muda Felda Johor Beralih Sokong PH


PETALING JAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mendakwa sekurang-kurangnya 30% generasi muda Felda di Johor berubah angin dengan menyokong Pakatan Harapan, khasnya di kerusi Parlimen yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman berkata, generasi ke-2 dan ke-3 Felda di Johor bakal menjadi penentu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana pemerhatiannya mendapati kebangkitan golongan itu bakal membawa risiko kepada BN yang selama ini berada dalam zon selesa.

“Kebelakangan ini, isu dalam Felda melihatkan ada perubahan sokongan terhadap pembangkang dan perubahan itu lebih ketara dalam generasi baru Felda, sudah sampai generasi ke-3 dari anak ke cucu dan cicit pun.


Loading...

“Isu, kemelut dalam Felda yang dulu tidak ambil peduli, tetapi sekarang apabila mereka melihat hutang ditanggung ayah mereka dan melihat masalah itu jadi kenyataan, ini menyebabkan timbul rasa ingin tahu.

“Nampak teruk sangat seperti hutang peneroka dan penyelenggaraan kebun yang teruk,” katanya kepada FMT.

Pada PRU13, BN memenangi 21 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, manakala

DAP memenangi 4 daripada 6 kerusi Parlimen dan baki 1 kawasan Parlimen dimenangi PKR daripada 12 kerusi ditandingi mereka.

Ketika itu, Pakatan Rakyat yang turut terdiri daripada PAS bersama menentang BN, tetapi parti Islam itu tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka di Johor.

Sejumlah 60 kerusi Parlimen terletak di kawasan Felda, di mana 54 daripadanya dimenangi BN pada PRU13, manakala baki 6 kerusi di Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput dimenangi Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, sokongan anak muda kepada PH memberi petunjuk BN bakal berdepan kesukaran di Johor.

“Saya banyak dihubungi anak muda yang berkongsi masalah, terutama dalam ‘group’ WhatsApp.

“Mereka kebanyakannya lebih gemar berkongsi pengalaman mereka melalui medium itu berbanding bercerita kepada pemberita.

“Memang sukar untuk kenal pasti sokongan mereka, tetapi apa yang saya tahu, kebanyakan generasi muda di Felda Johor mula menyokong pembangkang,” dakwanya.

Sumber: FMT

No comments

Loading...