Header Ads

Loading...

Tempoh 24 Jam Untuk Mohon Maaf


SEREMBAN - Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan (MPN) memberi tempoh 24 jam kepada pemilik Facebook, Shiva Carlos untuk membuat permohonan maaf atau berhadapan tindakan undang-undang.

Ia berikutan status yang dimuatnaik dua hari lalu yang menuduh Ketua Keadilan Cabang Rembau, Yusof Tapar menjual kerusi Dun Rantau kepada Penyelaras Keadilan Dun Rantau, Dr Streram Sinnasamy sebanyak RM3 juta.

Setiausaha Pengelola MPN negeri, Rusli Abdullah berkata, tuduhan yang dibuat Shiva Carlis itu sangat serius.


Loading...

Katanya, jika Shiva Carlos mempunyai bukti, beliau boleh membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagaimanapun, jika ini hanyalah tuduhan liar dan tidak mempunyai asas, kita mahu Shiva Carlos mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi statusnya beserta memohon maaf tanpa sebarang syarat kepada dua individu yang dikaitkan dengan tuduhannya itu.

"Kita beri tempoh 24 jam ini untuk permohonan maaf tersebut, dan jika dia gagal berbuat demikian, pihak Keadilan Negeri Sembilan serta Keadilan Cabang Rembau tidak teragak-agak akan membuat laporan polis untuk diambil tindakan perundangan terhadapnya," katanya dalam sidang media di Pejabat Keadilan Dun Rantau di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Keadilan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Beliau berkata, pertuduhan yang dilemparkan dilihat amat jahat, berniat untuk memecah belahkan perpaduan antara ahli PKR di negeri ini.

Kata Rusli, pihaknya ingin menegaskan bahawa Ketua mana-mana Cabang tidak boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi calon pilihanraya Dun ataupun Parlimen tetapi hanyalah sekadar dibenarkan mencadangkan beberapa nama untuk diketengahkan sebagai bakal calon untuk pilihan raya umum akan datang.

“Nama Dr Streram Sinnasamy adalah salah satu nama yang dihantar oleh Ketua Cabang Rembau untuk dipertimbangkan sebagai bakal calon oleh presiden parti.

"Justeru, tuduhan yang mengatakan kerusi ini dijual dengan harga RM3 juta adalah sangat tidak munasabah.

"Sekiranya Dr Streram ingin membeli kerusi ini sudah tentu beliau akan membayar kepada orang yang membuat keputusan dan bukan kepada orang yang mencadangkan nama beliau," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata, tuduhan yang dilemparkan itu sedikit sebanyak telah mencemar nama baiknya dan Dr Streram.

"Saya dan Dr Streram tidak akan sekali-kali terbabit dalam amalan rasuah ini, dan kami berdua berpegang kepada prinsip yang selama ini diperjuangkan adalah untuk rakyat," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments

Loading...
loading...