Header Ads

Loading...

Rakyat Kini Sudah Tidak Lagi Rindu Zaman Mahathir – PM


TENTU ramai pernah terdengar ayat propaganda dipopularkan pembangkang beberapa bulan lalu berbunyi Kami rindu zaman Tun M konon menggambarkan rakyat gembira hidup pada ketika itu!

Mereka dengan bangga bercerita kononnya kehidupan masyarakat pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah Malaysia amat ‘indah’ terutama momokan kos sara hidup rendah dan harga barang murah.

Sebaliknya netizen antikerajaan sengaja sorok fakta bahawa gaji rakyat ketika itu amat kecil waima penjawat awam tidak mampu beli kereta baharu bahkan terpaksa ikat perut jika sambung belajar kerana tidak ditanggung kerajaan.


Loading...

Rakyat juga disekat akses maklumat setanding gaya hidup warga Korea Utara dengan wajib ada lesen TV dan radio, malah kebebasan bersuara hanya dongeng apabila tokoh pembangkang ditahan tanpa bicara serta akhbar dikawal.

Jangan lupa mereka sendiri meluat dengan Mahathir sehingga menggelarkan beliau sebagai Diktator Maha Firaun, tetapi kini demi kepentingan politik, blok pembangkang buat pusingan U konon ‘rindu’ pula kehidupan zaman itu!

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semula bahawa negara tidak akan kembali kepada era Mahathirisme yang cuma menumpukan kawalan kekuasaan politik kepada satu individu tertentu.

Situasi itu pernah menyebabkan kuasa raja-raja Melayu terhakis, selain kebebasan kehakiman terhalang. Najib berkata bekas negarawan tersebut bahkan sudah terlalu tua umur hampir seabad untuk kembali menerajui negara.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran lebih dua dekad pernah dikenang rakyat ketika itu sebagai zaman di bawah ‘satu jari’ seperti bekas diktator Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang digulingkan tentera negara Afrika itu.

“Selama lapan tahun saya jadi Perdana Menteri, sudah banyak kali lawat Sarawak berbanding orang berusia 93 tahun itu. Tidak masuk akal kalau beliau mahu tadbir kembali. Pada usia itu, beliau bukan orang ada kompeten lagi.
“Semua beliau hendak kawal termasuk mahu beli syarikat bekalan tenaga, Sesco Berhad di negeri ini ketika era pentadbirannya. Ini individu yang berkehendak kawal semua, atau satu orang buat keputusan untuk semua perkara.

“Jika bangkit soal hak dalam Perjanjian Malaysia 1963, beliau guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya ketika berucap pada Persidangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), di Ibu Pejabat SUPP, di Kuching hari ini.

Turut hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian dan Timbalan Presiden I SUPP, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata beliau sudah membuktikan dirinya bukan mahu kawal segala-gala kerana sedia toleransi termasuk mengembalikan hak Sarawak mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963.



Beliau berkata, hal berkenaan sudah diterjemah dalam bentuk tindakan, selain sedang dinikmati oleh rakyat Sabah dan Sarawak sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 lalu.

“Dr. Kui Hian pernah ada bangkitkan berkenaan pengembalian kuasa dan hak Sarawak, tetapi saya tidak pula memasukkan beliau dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) sebab saya sendiri sudah pun memansuhkan ISA.

“Selain proses memberi semula kuasa dan hak untuk Sabah dan Sarawak, Kerajaan Persekutuan turut melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo dan mengembalikan semula Empangan Hidroelektrik Bakun,” tambah Najib lagi.

Sementara itu, beliau menempelak pembangkang yang langsung tiada kestabilan malah disifatkan sebagai tidak layak menerajui negara, berbanding BN yang berjaya memberi keputusan baik menerajui pentadbiran negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata, parti serpihan yang ditubuh konon mahu mengikut perlembagaan UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia pun masih gagal menguruskan dirinya sehingga ditegur Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Parti yang diterajui oleh orang lama sedemikian tidak lagi sesuai dijadikan pilihan kerana BN-lah parti yang lebih memberi aspirasi demi masa depan untuk rakyat negara ini,” tegas Najib lagi. 

No comments

Loading...