Header Ads

Polis Dijangka Panggil Isa Samad


GEORGETOWN: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu pertukaran hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Rashid Ibrahim, berkata satu pasukan khas sudah diwujudkan bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, pasukan itu kini dalam proses mengumpulkan bukti sebelum beberapa saksi dipanggil bagi memberi keterangan dalam tempoh terdekat.

Loading...

"Kita akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memanggil beliau (Mohd Isa) untuk diambil keterangan atau sebaliknya.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 421 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu dan pemalsuan dokumen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Solidariti PDRM 2017 di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, awal pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Chee Lye.

BH kelmarin melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Mohd Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

- Berita Harian

No comments

Loading...