Header Ads

Loading...

Pindah Milik Tanah Felda Jalan Semarak Dicurigai


KUALA LUMPUR - Tanah di Jalan Semarak Felda  yang dianggarkan bernilai RM200 juta dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak tahun 2015.

Sumber memberitahu BH Online, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.


Loading...

Ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian.

"Agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah Felda sendiri tak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau Felda kerana ketika itu ada orang yang sama duduk dalam FIC dan Felda.

"Felda keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015," kata sumber tersebut.

Tanah tersebut kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Menerusi carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

Dalam pada itu,menerusi carian di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mendapati satu daripada tanah iaitu lot 390 seluas 16 hektar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek itu pada 21 Julai 2016.

Petang ini, Felda memaklumkan akan mengadakan sidang media menjelaskan perkara tersebut.

Sumber: Sinar Harian

No comments

Loading...