Header Ads

Nilai Tanah Felda RM1b, Harga Jual RM270j


KUALA LUMPUR: Nilai semasa tanah FELDA di Jalan Semarak yang diambil alih untuk dimajukan pembangunan bercampur projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam empat perjanjian jual beli tanah (SPA) antara FELDA dengan syarikat pemaju KLVC, Synergy Promenade Sdn Bhd sebelum ini.

Eksekutif Penilaian Kanan sebuah syarikat penilaian swasta, Umran Suffian Husin, berkata berdasarkan data jualan hartanah, anggaran nilai tanah di kawasan Jalan Gurney, Jalan Maktab dan Jalan Semarak adalah antara RM1,300 hingga RM1,600 sekaki persegi.


Loading...

"Ini adalah anggaran kasar memandangkan nilai hartanah di kawasan itu bergantung kepada saiz, zon kegunaan tanah dan lokasi sebenar," katanya kepada BH, semalam.

Anggaran berkenaan juga dikongsi oleh sumber rapat dalam projek KLVC itu yang menyatakan nilai semasa tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga RM1,950 sekaki persegi.

BH difahamkan beberapa kumpulan syarikat luar negara, termasuk dari China pernah bertemu pemaju untuk membeli tanah terbabit, tetapi KLVC lebih berminat membangunkannya sendiri.

Khamis lalu, BH melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik itu menerusi transaksi pindah milik tanah mencurigakan sejak 2015.

Projek KLVC membabitkan pembinaan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Semalam, FELDA dalam satu sidang media mengesahkan laporan itu dengan mengumumkan rancangan mengambil tindakan tegas untuk mendapatkan kembali hak ke atas tanah yang telah bertukar milik secara diragui kepada Synergy Promenade.

Pendirian itu dibuat Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agensi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Februari lalu mengarahkan supaya laporan polis dibuat berikutan penemuan pindah milik tanah yang meragukan itu.

Transaksi berisiko

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor, berkata langkah FELDA memberi surat wakil kuasa penuh kepada pemaju menjadikan transaksi itu berisiko kerana mendedahkannya kepada penyalahgunaan kuasa oleh pemaju.

Katanya, dari segi perundangan hartanah, langkah itu seperti menyerahkan sepenuhnya projek dan tanah kepada pemaju tanpa campur tangan pemilik tanah, sekali gus memungkinkan tanah itu dipindahmilikkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan FELDA sendiri.

"Bagaimana FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd) sebagai anak syarikat FELDA, sewenang-wenangnya memberikan surat wakil kuasa penuh kepada pemaju untuk membangunkan projek yang begitu besar.

"Ramai mahu tahu sama ada transaksi pembangunan tanah itu mematuhi terma perundangan yang sewajarnya atau sebaliknya," katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments

Loading...