Header Ads

Najib Perkenal Wajah Baharu Blog NajibRazak.com


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memperkenalkan wajah baharu yang lebih menarik, informatif dan mesra pengguna bagi laman web NajibRazak.com.

Beliau berkata peralihan kepada wajah baharu itu adalah bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat yang cepat dan tepat mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) dan segala pencapaiannya.

Loading...


Menerusi entri terbaharu blog NajibRazak.com malam ini, perdana menteri berkata laman web itu membolehkan beliau dan rakyat terus kekal berhubung dan menjadi satu lagi cara untuk beliau berkongsi aktiviti dan penulisan dengan mereka.

Di ruangan “Pencapaian”, Najib berkata orang ramai boleh mengikuti sendiri pelbagai kejayaan yang telah dicapai bersama termasuk janji-janji kerajaan BN yang telah ditepati meliputi pelbagai bidang seperti perumahan, pengangkutan awam, kos sara hidup dan sebagainya.

“Selain itu, terdapat juga ruangan “Rakyat Didahulukan” yang mencerminkan perjalanan transformasi negara yang berjaya menambah baik kualiti hidup rakyat serta pengiktirafan antarabangsa yang diterima sejak 2009.

“Dalam ruangan tersebut juga disediakan kisah pengalaman rakyat yang telah menerima manfaat daripada usaha dan inisiatif kerajaan,” kata beliau.

Sejajar dengan satu daripada prinsip pentadbiran beliau iaitu “Global”, Najib berkata orang ramai berpeluang meneliti hubungan diplomatik Malaysia dengan dunia luar termasuk kuasa-kuasa besar global di ruangan ‘Hubungan Antarabangsa’.

Menerusinya, mereka boleh melihat bagaimana hubungan baik yang dijalinkan itu berjaya memanfaatkan negara dari segi ekonomi, kemajuan serantau dan keselamatan, kata perdana menteri.

“Insya-Allah, saya juga akan terus berkongsi pandangan saya dengan anda semua melalui penulisan blog dari masa ke masa. Anda boleh membaca catatan-catatan saya yang terdahulu di ruangan ‘Blog’ yang telah dikemas kini.

“Saya jemput anda semua untuk melihat sendiri wajah baru laman web saya di www.najibrazak.com, dan saya berharap dengan ini kita akan terus kekal berhubung!” kata Najib. – BERNAMA

No comments

Loading...