Header Ads

FELDA Yakin Dapat Kembali Milik Tanahnya


JOHOR BAHRU – FELDA berkeyakinan dapat memperoleh semula hak milik empat bidang tanahnya di Jalan Semarak menerusi usaha yang telah dilakukan setakat ini termasuk membuat laporan polis serta mendaftarkan kaveat ke atas tanah terbabit.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata FELDA tidak bertindak sendirian kerana segala langkah yang diambil dimaklumkan kepada semua pihak yang berkenaan.

Loading...


“Tentunya kita memerlukan sokongan kerajaan kerana FELDA adalah agensi kerajaan, Peguam Negara dan Pejabat Tanah kena bantu kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkhatan kawasan Parlimen Johor Bahru di Rumah Pangsa Larkin di sini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku penipuan berhubung urusan pindah milik tanah tersebut, Shahrir yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru, berkata pandangan peguam Felda, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara menjurus ke arah itu.

“Bukan seorang (yang meneliti kes itu), banyak peguam yang tengok,” katanya.

Shahrir juga berkata FELDA menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan bagi mengenal pasti dalang sebenar dalam isu berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat, biarlah polis siasat. Negara kita ada rekod, semua latar belakang syarikat, pengarah, semua boleh dicari di Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya ketika mengulas gesaan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi FELDA, Tan Sri Rozali Ismail agar FELDA mendedahkan pihak yang bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata FELDA turut menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk disiasat. “Pada saya berlaku ‘fraud’ (penipuan), berlaku perbuatan jenayah. Saya hendak umum nama buat apa. Siapa dalam syarikat tersebut boleh dicari,” katanya.

Semalam, Shahrir dilaporkan berkata FELDA bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta tersebut. – BERNAMA

No comments

Loading...