Header Ads

Shafie Apdal Hadir Beri Keterangan Di SPRM

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipanggil ke pejabat SPRM berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam. - Foto: BH Online

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah di sini, jam 5.15 petang tadi.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dipanggil ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dana awam di negeri ini.

Mohd Shafie, 60, tiba pada jam 5.15 petang di pekarangan pejabat SPRM dengan diiringi isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib dan ahli keluarga serta pemimpin Warisan.

Loading...


Antara yang kelihatan mengiringinya ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Bendahari Agung Warisan, Terence Siambun dan Setiausaha Agung Warisan, Lorreto Padua Jr.

Mohd Shafie yang berkemeja putih turut diiringi kira-kira 100 penyokongnya yang mula berkumpul sejak jam 4 petang.
Mohd Shafie juga sempat melambai kepada penyokongnya dan sekumpulan petugas media yang menunggu sejak jam 3 petang.

Beliau turut bersalaman dengan penyokongnya sebelum memasuki lif untuk ke pejabat SPRM.

Ketika dirapati petugas media yang bertanya adakah beliau sudah bersedia disiasat SPRM, isterinya tampil menjawab: "Sudah tentu dia bersedia." - BH Online



No comments

Loading...