Header Ads

Loading...

Shafie Apdal Gagal Batal Reman


Permohonan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohd Shafie Apdal yang mencabar keputusan penahanan reman ke atasnya Jumaat lalu oleh SPRM ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.

Hakim Ismail Brahim membuat keputusan di kamar selepas mendengar hujah SPRM bahawa reman yang dibuat sebelum ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah adalah terpakai di bawah Seksyen 3 Kanun Tatacara Jenayah.


Loading...
Susulan itu, SPRM akan membawa Mohd Shafie ke Mahkamah Majistret pada pukul 2.30 petang ini untuk memohon sambungan reman selepas perintah yang dikeluarkan Jumaat lalu berakhir hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia memetik peguam yang mewakili Mohd Shafie, Peter Anthony sebagai berkata, pihaknya memohon pembatalan reman kerana anak guamnya sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

“Akta tersebut membenarkan SPRM menangkap tetapi perlu dibebaskan dengan syarat-syarat jaminan SPRM. Jika syarat itu dilanggar barulah dia boleh ditangkap lagi untuk direman.

“Tetapi permohonan kami ditolak oleh mahkamah, justeru petang ini SPRM dijangka akan memohon sambungan tempoh reman,” katanya.

Minggu lalu, SPRM juga menahan dua adik Mohd Shafie dan beberapa pemimpin WARISAN dalam siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan RM1.5 bilion dana pembangunan luar bandar yang diperuntukkan untuk negeri Sabah.

Jumlah RM1.5 bilion itu didakwa merupakan sebahagian daripada RM7.5 bilion dana yang dilaporkan diperuntukkan untuk projek pembangunan kawasan pedalaman Sabah untuk tempoh enam tahun.

SPRM menyiasat 60 syarikat yang diberikan projek untuk bekalan air, elektrik, dan jalan raya untuk membantu penduduk di pedalaman negeri itu.

Mohd Shafie memegang portfolio kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2009 hingga 2015. Beliau menafikan penglibatannya dalam skandal itu.

-- Malaysiakini

No comments

Loading...
loading...