Header Ads

Loading...

Rosmah Serlah Kejayaan Malaysia Tangani Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Datin Seri Rosmah Mansor berkata Malaysia telah mencapai banyak kejayaan dalam menangani jenayah seksual ke atas kanak-kanak. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani secara langsung jenayah seksual ke atas kanak-kanak pada mesyuarat antarabangsa anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Beliau berkata Malaysia telah mencapai banyak kejayaan dalam usaha itu dalam tempoh yang agak singkat yang mencerminkan keperluan segera untuk mengakhiri penderaan, eksploitasi, pemerdagangan dan segala bentuk keganasan dan penyeksaan terhadap kanak-kanak.

"Masalah-masalah ini adalah nyata dan berleluasa di semua negara. Kita perlu menanganinya sekarang sebelum ia bertambah meruncing,"kata beliau dalam ucapan melalui rakaman video pada Mesyuarat Peringkat Tinggi untuk Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan untuk Kanak-kanak: Tindakan Kolektif dan Penyelesaian Inovatif.


Loading...

Dalam usaha memerangi jenayah itu di Malaysia, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos 2016 telah mengambil tindakan tegas menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji semua isu berkaitan jenayah seksual ke atas kanak-kanak.

"Melalui komitmen politik penuh di peringkat tinggi, dalam masa enam bulan, Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak telah digubal dan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2017," kata Rosmah.

Beliau berkata melalui sokongan besar daripada masyarakat, rang undang-undang itu diluluskan dengan sebulat suara dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berkuatkuasa pada 10 Julai tahun ini.

Rosmah berkata kesungguhan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani masalah itu juga terserlah melalui pelancaran Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak pada Jun 2017 bagi memastikan kes-kes diselesaikan dengan efektif dalam masa 12 bulan.

“Saya percaya ia adalah mahkamah pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Di bawah pengendalian hakim yang cukup berpengalaman... 248 daripada 293 kes yang didaftarkan atau 84.6 peratus telah diselesaikan dalam masa tiga bulan. Kerajaan bercadang untuk memperluaskan mahkamah khas ini ke negeri-negeri lain di negara ini,” kata beliau.

Rosmah berkata, perhatian khas juga diberikan bagi memastikan mangsa dan keluarga mereka tidak mengalami trauma fizikal, emosi dan psikologi yang teruk, serta mengatasi budaya kerja silo dan sistem kerja yang lapuk.

Justeru, Rosmah berkata jawatankuasa khas diketuai oleh menteri yang bertanggungjawab untuk undang-undang telah ditubuhkan untuk merangka prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci dan komprehensif dalam menangani kes-kes secara profesional dan bijak.

Kehadiran Ratu Silvia, Sweden selaku pengasas World Childhood Foundation menyerikan lagi majlis itu. Baginda telah menjemput Rosmah, yang juga penaung Program Permata untuk menghadiri majlis tersebut.

Rosmah memberitahu mesyuarat bahawa rancangan sedang dijalankan untuk memperkenalkan program bagi meningkatkan kecekapan dan kepakaran para hakim, pendakwa, pengamal undang-undang, kaunselor, polis, pekerja sosial dan profesional kesihatan.

Satu lagi inisiatif yang diambil ialah untuk melatih jurubahasa bahasa isyarat untuk membantu kanak-kanak dengan keperluan khas untuk memberi keterangan berhubung dengan penderaan seksual.

Rosmah berkata Malaysia sedang mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak dan menjadi pihak berkepentingan kepada Council of Europe Lanzarote Convention yang memperuntukkan supaya pendakwaan jenayah dikenakan ke atas semua bentuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Kerana menyedari eksploitasi dan kesalahan seksual dan lain-lain bentuk keganasan terhadap lanak-kanak tidak mengenal sempadan, beliau berkata Malaysia mencadangkan satu seminar peringkat ASEAN mengenai perkara ini yang akan dihoskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018.

Rosmah seterusnya berkata seminar mengenai "Keeping our Women and Children CyberSAFE" akan diadakan pada 22 Okt oleh Majlis Kebangsaan Wanita dan CyberSecurity Malaysia.

"Lebih banyak tumpuan diberikan kepada pendidikan ibu bapa kerana keselamatan kanak-kanak pada dasarnya adalah tanggungjawab mereka," kata Rosmah.

Menurut seorang daripada wakil Malaysia ke mesyuarat peringkat tinggi itu, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, ucapan Rosmah telah diterima dengan baik dan kebanyakan delegasi mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan itu dalam masa yang singkat.

Dr Sharifah Hapsah berkata Ratu Silvia meminta beliau untuk menyampaikan kekaguman baginda kepada Rosmah atas kejayaan besar Malaysia dalam usaha menangani kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. - Bernama

No comments

Loading...