Header Ads

Loading...

Pengawal Keselamatan Bertindak Lapor SPRM Selepas Tidak Dibayar Gaji


KOTA BHARU: Kira-kira 20 pengawal keselamatan melakukan bantahan aman di sini bagi menuntut tunggakan gaji yang tidak dibayar sepenuhnya sejak dua bulan lalu oleh majikan mereka.

Malah dakwa mereka, seramai 48 pengawal keselamatan berhadapan perkara sama akibat tunggakan bayaran gaji sejak setahun lalu.

Wakil mereka, Roslan Kamarulzaman, 48, berkata, masalah itu bermula sejak tender yang dimiliki sebuah syarikat bertukar ke syarikat yang lain, September tahun lalu.


Loading...
“Mula-mula gaji kami dibayar dengan baik, namun lama kelamaan kami dibayar secara ansuran, ada RM400, ada RM500 bermula awal tahun ini.

“Hinggalah masalah dihadapi ini berlarutan sehingga kemuncak terjadi apabila gaji mereka tidak langsung dilunaskan pada dua bulan ini,” katanya.

Menurutnya, setiap kali hal ini diajukan, majikan memberi alasan Pejabat Pendidikan Daerah belum serahkan wang gaji.

“Setiap bulan kami buat laporan polis dan juga adu ke Pejabat Buruh.

“Hari ini kami datang ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk beri maklumat kepada mereka supaya menyiasat dan membela kes kami,” katanya bersama 20 pengawal keselamatan yang berkumpul di hadapan Pejabat SPRM Kelantan, semalam.

Kesemua mereka adalah pengawal keselamatan yang ditugaskan di 12 sekolah di daerah ini.

Roslan berkata, mereka sepatutnya dibayar RM1,800 sebulan menyebabkan syarikat itu tidak menjelaskan sejumlah RM88,200 dua bulan gaji bagi kesemua mereka dan mengharapkan ada pihak yang akan membantu dan membela nasib mereka.

“Dah bermacam ikhtiar kami lakukan, mengadu sana sini. Pihak SPRM juga menasihatkan kami merujuk ke Pejabat Buruh dan kami sememangnya sudah pun membuat laporan kepada mereka hampir setiap bulan.

“Dalam keadaan tidak bergaji, kami masih lagi pergi kerja kerana tanggungjawab terhadap murid dan pelajar, kami tidak boleh berhenti begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada mereka, Abd Razak Abd Rahim, 44, berkata, dia mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak berusia 10; 13 dan 18 tahun yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

“Saya sewa rumah RM600 sebulan dan bayaran itu tertunggak kerana tidak ada gaji dua bulan ini. Hendak cari kerja lain pun susah nak dapat sekarang," katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen pegawai operasi syarikat itu gagal apabila panggilan tidak dijawab.

Difahamkan pejabat syarikat tersebut beroperasi di Kuala Lumpur.

-- Sinar Harian

No comments

Loading...
loading...