Header Ads

Loading...

Maut Dipercayai Tersedak Susu


BAYI lelaki meninggal dunia dipercayai tersedak susu di kediamannya di Taman Bistari, Tongkang Pechah, Batu Pahat, 7.30 pagi semalam.

Jenazah bayi terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 7, Tongkang Pechah kira-kira 9 malam selepas disolatkan di Surau Taman Bistari, Batu Pahat, Johor, semalam.

Bayi berkenaan, Adrie Fayyadh Mohd Zulkifli yang berusia 39 hari, dipercayai meninggal dunia selepas disusukan ibunya, Rosma Endah Mohamed, 38.

Menurut Rosma, dia baru sahaja meletakkan bayinya itu kira-kira 30 minit selepas dia menyusukan anaknya, sebelum melakukan rutin harian di rumah pada waktu pagi, lapor My Metro.


Loading...

"Seperti biasa rutin harian selepas menyusukan Adrie antara 6.30 hingga 7 pagi, saya akan menyapu sampah, menyidai kain dan menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak lain.

"Arwah adalah anak bongsu daripada lima beradik dan kebiasaannya selepas kenyang menyusu, dia akan tidur,” katanya.

Menurut Rosma, dia sering melihat keadaan anaknya sambil melakukan rutin harian.

“Setiap hari selepas dia tertidur saya akan membuat kerja harian dan menghantar suami sehingga ke depan pintu dan sekali sekala menjengah keadaan anak bongsu saya itu.

“Namun pada hari kejadian, saya panik apabila melihat anak saya sudah tidak lagi bergerak selain seluruh badannya bertukar menjadi kebiruan.

“Agak lama cuba menyedarkan dia, saya mendapati dia tidak menunjukkan apa-apa tindak balas.

“Saya terus bergegas ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun doktor yang bertugas mengesahkan bahawa bayi saya sudah tidak lagi bernyawa,” katanya ketika ditemui, di kediamannya, hari ini.

Rosma berkata, dia terkejut dan tidak percaya anak bongsunya itu sudah tiada dan terus menghubungi suaminya yang bekerja di kilang berhampiran.

"Walaupun kejadian berkenaan seperti mimpi kerana ia berlaku sekelip mata, namun saya sekeluarga menerima hakikat dan reda dengan ketentuan Allah yang anak syurga kami ini sudah tiada.

"Saya akui setiap yang berlaku ada hikmahnya dan menerima takdir berkenaan dengan hati yang terbuka, selain menganggap anak bongsu ini Allah pinjamkan seketika untuk kami sebelum dia pergi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bistari, Batu Pahat, Wahyu Hidayat Jaapar, berkata, pihaknya turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga mangsa dan berharap keluarga berkenaan reda dengan pemergian anak bongsu mereka.

"Selain melakukan lawatan, pihak KRT Taman Bistari dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Batu Pahat turut memberikan sumbangan untuk membantu keluarga berkenaan yang masih bersedih dengan kejadian berkenaan," katanya.

No comments

Loading...
loading...