Header Ads

Kuarters Guru Diduduki Dengan Kebenaran Kata Kontraktor


IPOH: Kontraktor yang menguruskan penempatan pekerja warga asing di kuarters guru Klian Intan, Pengkalan Hulu dekat Gerik di sini mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pengurus Besar Jasa Timah Intan Sdn Bhd, Ahmad Zakaria, yang menguruskan penempatan pekerja warga Bangladesh di kuarters berkenaan berkata, permohonan menduduki kuarters berkenaan dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mempunyai mempunyai kontrak serta perjanjian dengan KPM selama tiga tahun.


Loading...
"Jadi kami agak terkejut apabila berita yang diviralkan kononnya kami sudah lama menduduki kawasan itu malah ada penduduk yang mendakwa sudah hampir 10 tahun, sebenarnya kami menjadikannya asrama belum sampai setahun lagi.

"Mungkin penduduk keliru kerana pekerja asing mula diambil bekerja di kawasan lombong sejak 10 tahun lalu tetapi mereka menetap di kawasan sekitar sebelum mendiami kuarters berkenaan dan kami mendapat maklum bahawa bangunan itu sudah tujuh hingga lapan tahun tidak berpenghuni.

"Kami membuat segala proses mengikut SOP dan semuanya mengikut undang-undang, jadi kami berasa kesal dan terkejut apabila tiba-tiba ada pihak ketiga menyebarkan cerita yang tidak benar," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Ahmad berkata, pihaknya berusaha selama hampir setahun bagi mendapat kebenaran dan kelulusan menyewa kuarters berkenaan kerana ia tidak didiami dan sanggup mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan KPM iaitu tidak boleh mengubah struktur bangunan asal dan perlu membuat permohonan sekiranya membuat perubahan berskala besar.

Katanya, pihaknya mengambil masa dua bulan untuk membaik pulih bangunan yang mempunyai banyak kerosakan dengan membelanjakan kira-kira RM120,000 bagi mengecat semula bangunan, membuat pendawaian baharu serta memperbaiki saluran air kerana ia perjanjian yang perlu patuhi KPM sekiranya mengambil bangunan berkenaan.

"Kami mendapat idea untuk cuba memohon daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan (JPN) untuk menggunakan kuarters ini sebagai rumah pekerja kami," katanya

Beliau berkata, setakat ini bangunan berkenaan sudah diduduki selama hampir setahun dan tiada kemalangan, kerosakan mahupun aduan penduduk setempat berkenaan pekerja asing berkenaan dan mempunyai pengawal tempatan yang memantau pekerja warga asing itu supaya tidak mengganggu penduduk tempatan.

"Bangunan berada di jalan utama, ia memang dipasang lampu limpah supaya tidak ada pandangan serong daripada orang luar terhadap pekerja asing, jadi kami tiada tujuan untuk menyembunyikan mereka malah bangunan yang kami panggil kompleks asrama ini kerap dipantau polis, Jabatan Imigresen dan pihak KPM sendiri," katanya. - BH Online


No comments

Loading...