Header Ads

Kes Terima Suapan, Polis Berpangkat Sarjan Direman


SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan direman selama tiga hari selepas dihadapkan ke Mahkamah Khas Reman Seremban, di sini, hari ini, atas perbuatan rasuah.

Majistret Mahkamah Khas Reman, Rahimah Rahim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan wanita terbabit sehingga 23 Oktober ini, lapor Sinar Online.


Loading...

Individu berusia 36 tahun yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu itu dipercayai menerima suapan sebanyak RM1,200 daripada seorang penagih dadah.

Difahamkan dia berbuat demikian di tepi jalan dalam daerah berkenaan lebih kurang jam 3 petang semalam.

Dipercayai wanita itu telah meminta wang sebanyak RM1,300 daripada penagih dadah terbabit, tetapi kemudian memberi diskaun sebanyak RM100.

Wang itu didakwa diterima dalam kenderaan jenis Grand Livina putih miliknya dalam pertemuan tersebut.

Dikatakan tujuannya untuk menutup kes penagih dadah berkenaan dari didakwa di mahkamah, membabitkan kesalahan memasukkan dadah ke dalam tubuh.

Sejurus selepas itu, sekumpulan pegawai SPRM membuat serbuan dan menjumpai wang berjumlah RM1,200 berada bersamanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu meminta dan menerima rasuah.

Permohonan difailkan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Khairi Abdul Karim manakala anggota polis terbabit diwakili peguam, Rajindar Singh.

No comments

Loading...