Header Ads

Loading...

Kes Saman Fitnah Ab Rauf Terhadap Ahli PPBM Selesai


KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ridwan Abu Samah, diselesaikan selepas defendan membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Ridwan yang juga bekas Ketua Pendaftar PPBM Bahagian Masjid Tanah, Melaka, membaca penghakiman persetujuan dan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin.

Dalam penghakiman persetujuan itu, Ridwan selaku defendan menyatakan penyesalan atas kesalahan beliau berhubung status dan status bergambar yang dimuat naik di laman Facebook atas nama 'Wan Motor' dan 'PPBM Masjid Tanah', lapor BH Online.


Loading...
"Adalah dalam pengetahuan saya bahawa status bergambar itu adalah mengenai resort di Masjid Tanah yang dimiliki oleh keluarga plaintif (Ab Rauf) dan didaftarkan atas nama abang plaintif, Husin Yusoh.

"Saya menyatakan penyesalan saya atas kesalahan sendiri kerana memahami gambar itu daripada konteks yang salah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menarik semula penyataan status dan status bergambar seterusnya berjanji tidak akan menerbitkan perkara sama pada masa depan.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Ab Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO itu turut membacakan kenyataan balas terhadap penghakiman persetujuan itu dan ia akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad bagi tuntutan plaintif terhadap defendan.

"Kesanggupan defendan menzahirkan penyesalan paling mendalam atas penerbitan status dan status bergambar serta aku janji yang dibuat untuk tidak menerbitkan penyataan berunsur fitnah terhadap plaintif pada masa akan datang, plaintif dengan ini menerima pernyataan (permohonan maaf) defendan.
"Defendan juga akan memuat naik kenyataan berhubung penghakiman persetujuan dalam akaun Facebook miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman persetujuan ini," katanya.

Terdahulu Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sementara itu, dalam prosiding itu juga, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, berkata bahawa beliau diberhentikan perkhidmatan sebagai peguam kepada Ridwan.

"Saya telah menerima surat daripada anak guam, semalam untuk memberhentikan khidmat saya sebagai peguam. Tujuan saya datang hari ini untuk rekod mahkamah," katanya.

Sepatutnya hari ini ditetapkan perbicaraan kes untuk Mohamed Haniff meneruskan prosiding pemeriksaan balas terhadap Ab Rauf.

Pada 5 Januari lalu, Ab Rauf, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman mendakwa Ridwan ada memuat naik status dan status bergambar dalam Facebook miliknya yang didakwa mengandungi perkataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan menggunakan kedudukan, jawatannya untuk mengaburi dan membeli hati rakyat khususnya penduduk di kawasan Masjid Tanah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripadanya menerbitkan semula perkataan fitnah itu.

No comments

Loading...