Header Ads

Loading...

Kes Bakar Tahfiz: 'Mereka Menangis, Nampak Jelas Kekesalan Di Wajah Mereka' - Zulfa Khairi


Walaupun sebelum ini kebanyakan media arus perdana dan media sosial melaporkan seolah-olah suspek-suspek kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak menunjukkan sebarang rasa kesal dengan perbuatan mereka, saudara Zulfa Khairi pula mendedahkan sebaliknya.

Lelaki ini yang berkesempatan bertemu dan bersemuka sendiri dengan dua suspek utama mendedahkan wajah mereka kelihatan penuh dengan penyesalan yang teramat sangat. 

Beliau berkata, dua suspek utama tersebut telah ditempatkan berasingan daripada pesalah juvana-juvana yang lain. Manakala tiga lagi rakan suspek yang didapati positif dadah ditempatkan di sel berlainan. 


Loading...

Zulfa Khairi turut mendedahkan niat awal suspek pada pada mulanya hanya mahu mencuri telefon bimbit di Pusat tahfiz berkenaan. Namun tidak menyangka tindakan mereka sebenarnya mengundang malapetaka yang lebih besar sehingga menyebabkan kematian 24 pelajar termasuk dua orang guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk semua mangsa yang terlibat.

TAKDIR DAN HIKMAH DI BALIK TIRAI BESI

Hari ini kami berkesempatan bersemuka di balik tirai besi dengan dua orang pesalah juvana yang dituduh membunuh dalam kes bakar maahad tahfiz (Darul Quran Ittifaqiyah) yang lepas. Mereka diasingkan dari juvana-juvana yang lain, duduk berdua dalam satu sel atas sebab-sebab keselamatan.

Tiga orang lagi yang merupakan rakan mereka juga ditempatkan di sel lain. Cuma tidak dijatuhkan pertuduhan membunuh, hanya sebab keputusan ujian air kencing positif dadah.

Dua orang tadi akan dibicarakan pada bulan November. Andai dijatuhkan hukuman, mereka tidak akan digantung kerana di bawah umur 21 tahun. Sama dengan kes bunuh pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang lalu. Mereka ini akan dikenakan Tahanan Limpahan Sultan (TLS).

Mereka akan hidup di penjara sepanjang hayat sehingga ajal datang menjemput. Melainkan jika mendapat keampunan dari Sultan/Agong, barulah mereka akan dibebaskan. Sekarang mereka berada di blok penjara juvana. Bila masuk usia 21 tahun kelak, mereka akan dipindahkan ke penjara dewasa yang terletak di sebelah blok.

Mereka pada asalnya berhasrat nak mencuri handphone, nak membalas dendam kepada pelajar-pelajar tahfiz. Mereka ingatkan jam 5 pagi itu, budak-budak tahfiz sudah pergi ke surau/masjid. Jadi mereka nak memecah masuk asrama.

Disebabkan pintu asrama berkunci, mereka bertindak untuk membakar. Takdirnya 23 pelajar tahfiz disahkan maut dalam kebakaran itu. Itu bukan kehendak mereka berdua. Selesai untuk yang sudah pergi, mereka yang tinggal ini macam mana?

Perlunya guidance agar mereka ini menghabiskan usia mereka sebaiknya dalam penjara, belajar quran, solat dan boleh hafaz Quran. Doa-doakan.

Teringat kisah zaman Nabi Muhammad, ketika bapa saudaranya, Hamzah, dibunuh ketika perang Uhud oleh seorang hamba yang mahir dalam merejam lembing/tombak iaitu Wahsyi. Wahsyi dijanjikan oleh tuannya agar dibebaskan/dimerdekakan jika dapat membunuh Hamzah. Hamzah syahid di medan Uhud, apabila tombak Wahsyi yang disaluti racun berbisa menembusi perutnya. .

Setelah dibebaskan, dan masa berlalu, Wahsyi memeluk islam dan pergi ke medan perang bersama tentera islam, sehingga zaman Abu Bakar as Siddiq, dan dialah yang berjaya membunuh nabi palsu, Musailamah Al-Kazzab. Kesalahannya membunuh Hamzah ditebus dengan menumpaskan Musailamah al Kazzab.
.
Jadi dalam kes dua orang juvana yang bakar tahfiz itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum dia dengan kecaman-kecaman/cercaan dan apa-apa kata kesat. Boleh jadi nanti dia mengakhiri hidup mereka lebih baik dari kita.

Kita doakan yang terbaik untuk mereka, biar nilai hidup mereka itu berbaloi sekiranya dihabiskan sepanjang hayat di dalam penjara. Nampak jelas kekesalan di wajah mereka, mereka menangis. Dalam sel mereka kosong, hanya ada mashaf al quran dan yasin. Semoga mereka diberi taufiq dan hidayah, kita doakan untuk mereka ya!. 

Status yang ditulis di laman facebook itu telah menerima lebih daripada 100 perkongsian. Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati dan berharap semua suspek insaf di atas perbuatan mereka. - Malaysian Update




Sumber: Zulfa Khairi

No comments

Loading...