Header Ads

Loading...

Hina Keturunan, Bugis Indonesia Desak Dr M Mohon Maaf

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto: Malay Mail Online

JAKARTA, 21 Okt — Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia (PPBMI) di sini hari ini mendesak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta maaf secara terbuka ekoran kenyataan yang menghina keturunan Bugis dalam satu perhimpunan pembangkang di Selangor baru-baru ini.

PPBMI membuat desakan itu menerusi satu memorandum bantahan yang diserahkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini lewat petang semalam.


Loading...
Ketua Umum PPBMI Arwin Welhalmina dalam kenyataannya berkata, Dr Mahathir telah merendahkan taraf dirinya sendiri sebagai bekas perdana menteri apabila mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap sesuatu keturunan.

Beliau berkata, keturunan Bugis adalah satu bangsa yang diasporanya berjaya di seluruh dunia dan Dr Mahathir harus sedar bahawa Bugis adalah etnik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan dan kesultanan Melayu.

Katanya, walaupun tujuan Dr Mahathir mengaitkan keturunan Bugis kerana mahu menyinggung perasaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi penghinaan yang dibuat itu menyinggung perasaan keturunan Bugis di seluruh dunia terutamanya di Indonesia.

Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti-parti pembangkang pada 14 Okt lepas telah mengaitkan keturunan Najib dengan menyebut sebagai keturunan “lanun Bugis”.

Arwin berkata, pihaknya mendesak Dr Mahathir memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu atau pihaknya akan membuat demonstrasi besar-besaran di hadapan kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai menzahirkan bantahan mereka.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Bernama, Dr Mahathir harus membuat permohonan maaf segera atas keterlanjurannya itu kerana ia membawa masalah kepada rakyat Malaysia di Indonesia.

“Sebagai seorang negarawan, Dr Mahathir tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan kini beliau meletakkan pihak kedutaan dan rakyat Malaysia dalam bahaya kerana kata-katanya telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan yang berketurunan Bugis,” katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir harus bertindak bijak untuk menjaga hubungan dengan negara jiran dan tidak bercakap susuka hati yang boleh mengeruhkan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua buah negara. — Bernama

No comments

Loading...
loading...