Header Ads

Himpunan Padang Timur, Sepatutnya 1 Juta Hadir - PAS


SHAH ALAM: Perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Padang Timur, Petaling Jaya malam tadi, sepatutnya dihadiri 1 juta rakyat kerana dibuat dalam negeri yang menjadi pusat kepada pakatan itu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, secara sinis, berkata ini kerana perhimpunan itu bukan setakat membabitkan komponen parti dalam Pakatan Harapan, malah ia juga dibuat pada lokasi yang mudah diakses.
"Sepatutnya, bagi saya, (apabila) ia diadakan di negeri yang jadi pusat kepada Pakatan Harapan, satu tempat yang ada akses begitu mudah, sama ada jalan raya dan maklumat...saya tidak tahu kenapa ia tidak dicapai.

Loading...

"Kita (PAS) buat Fastaqim (Himpunan Fastaqim 2.0) di satu lokasi yang orang kata tempat jin bertendang. Tempat yang jauh dari Kuala Lumpur dengan akses jalan raya yang kecil, di ceruk, sangat tidak strategik tetapi Alhamdulillah kita tidak perlu bayar ahli PAS, kita umumkan saja, yang menggerakkan adalah media sosial dan ahli sendiri.
"Itu adalah sambutan rakyat kepada PAS dan Pakatan Harapan. Kalau PAS hanya satu (bersendirian) dapat sambutan 200, 000 orang, semalam sepatutnya 1 juta, paling tidak 500,000 orang. Itulah gambaran awal sokongan rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Minum Petang Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sallehen berkata, perhimpunan itu adalah untuk menyatakan kebencian terhadap Perdana Menteri, membabitkan rasuah tetapi diketuai oleh bekas Perdana Menteri yang umum ketahui ada rekod.
"Bagaimana untuk mencegah rasuah melalui orang yang pernah mengamalkan rasuah?" katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid ketika ditanya mengenai kenyataan Exco Kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang mahu mendedahkan kelemahannya jika beliau menyertai tiga bekas Menteri Besar Selangor dari Barisan Nasional (BN), mencabar pemimpin DAP itu untuk berbuat demikian.
Khalid berkata, tindakan Chang Khim itu mencerminkan karakter diri yang lemah dan tidak amanah.
"Teruskanlah, mengapa beliau perlu takut? Beliau sepatutnya lakukan sebelum ini.
"Mengancam pun tidak berguna. Sekarang dia tidak ada hormat kepada saya kerana kita bukan lagi geng dia. Ini bukan parti gengster," katanya.  - BH Online

No comments

Loading...