Header Ads

Loading...

Generasi Milenia Diharap Jadi Ejen Transformasi Pembangunan Negara Kata Rosmah


PUTRAJAYA -- Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap generasi milenia akan menjadi ejen transformasi bagi mengambil tempat dan memainkan peranan aktif dalam arus pembangunan negara.

Rosmah yang juga Penaung Yayasan Minda berkata generasi milenia ini mampu menjana perubahan yang positif dalam apa jua perkara bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Beliau berkata aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi wadah generasi milenia demi masa hadapan yang lebih baik dalam mencorakkan masa hadapan negara.


Loading...

“Sebagai jurucakap transformasi, anda semua harus memainkan peranan seperti bercakap perkara baik dan positif tentang negara. Anda juga harus bijak menangkis hujah-hujah negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Perdana dan Perasmian Penutupan Milenia Orator di Seri Perdana malam ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Pengerusi Jelajah Milenia Mohd Shahar Abdullah.

Program Orator Milenia yang bertemakan Minda Futuristik Aspirasi Milenia merupakan antara program di bawah Siri Jelajah Milenia anjuran bersepadu oleh Yayasan Minda, KPT dan Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia.

Justeru, isteri Perdana Menteri turut menyeru golongan ini memanfaatkan sebaik-baiknya penggunaan media sosial dan bukannya menyebarkan perkara palsu tanpa mengetahui kebenaran dan kesahihan maklumat.

“Amalkan budaya menyemak semula sesuatu data dan maklumat yang diterima supaya kita dapat bertanggungjawab atas maklumat yang hendak disampaikan.

“Ini adalah kerana golongan milenia harus sedar andalah pewaris kepimpinan hari ini dan akan mencorakkan masa hadapan negara,” katanya.

Mengenai Orator Milenia, Rosmah berkata ia adalah satu ruang dan peluang untuk generasi baru negara menonjolkan bakat dan potensi selaras dengan cita-cita mewujudkan generasi minda kelas pertama bertaraf dunia.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata 350 pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara telah berkongsi aspirasi milenia melalui pertandingan debat alaf baharu, bicara tunas dan ‘pitching competition’.

Katanya, program ini bertujuan mengasah bakat dan mengenal pasti aspirasi golongan ini dalam pembangunan negara menuju ke tahun 2050 dan berpotensi besar mencorakkan sosioekonomi negara.

Dalam majlis itu, Rosmah turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan kepada juara pertandingan tunas bicara dan pitching.

Pelajar Roshan James Robert James dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Francis, Perak dan Syed Ali Zufar Alkaff Syed Muhammad Azani dari SK Kidurong, Sarawak masing-masing dinobatkan johan bagi pertandingan pitching dan bicara tunas.

Sekolah Datuk Abdul Razak, Negeri Sembilan merangkul juara pertandingan debat alaf baharu dan membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Rosmah turut menyampaikan hadiah wang tunai RM500 dan sijil penyertaan kepada pendebat terbaik dari Sekolah Datuk Abdul Razak, Amin Baihaqi.

-- BERNAMA

No comments

Loading...
loading...