Header Ads

Loading...

Tragedi Ittifaqiyah: Keluarga Terkilan Tak Jemput 3 Beradik Pulang Ke Rumah


KUALA LUMPUR – Anggota keluarga kepada tiga beradik yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, terkilan tidak menjemput mereka pulang ke rumah dengan segera.

Ini kerana sebelum itu ibu mereka ada mendapat panggilan telefon daripada salah seorang mangsa pada Rabu yang meluahkan hasrat hendak balik ke rumah untuk berehat pada hujung minggu.

Tiga beradik berkenaan, Muhamad Haris Ikhwan Mohd Sulaiman, 10, dan Hafiz Iskandar, 11, serta Syafiq Haikal, 13, adalah antara 23 mangsa terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz di Jalan Keramat Ujung di sini, pagi Khamis.

Sepupu mangsa, Mas Aliza Ali Bapoo, 22, berkata panggilan yang diterima ibunya, Mas Anizan Mohammad Shahid, 43, daripada Hafiz Iskandar, agak pelik kerana kanak-kanak itu memberitahu ‘dia mahu pergi’.

“Ketika bercakap dengan ibu saya, dia kata mahu pergi, apabila ibu tanya mahu pergi ke mana, Hafiz kata pergilah. Ibu saya kata pergi ke balik, kemudian dia kata balik cuti dan meminta kami menjemput mereka bertiga pulang.

“Ia agak pelik kerana memang setiap hari hujung minggu (Sabtu dan Ahad) kami pada kebiasaannya membawa mereka balik ke rumah,” kata Mas Aliza ketika ditemui para pemberita, semalam.

Mas Aliza bersama ibunya, Mas Anizan yang merupakan pelakon popular era 1990-an, berada di perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tujuan tuntutan jenazah.

Ujar beliau lagi, sepupunya itu dijaga ibunya setelah bapa kanak-kanak itu meninggal dunia pada 2005 lalu dan menambah: “Kami bercadang untuk mengambil ketiga-tiga beradik itu pada Sabtu ini.

“Tetapi tak sangka mereka semua terkorban, kami semua terkejut. Saya paling terasa sebab segala urusan ke sekolah tahfiz ini, saya yang uruskan dan kalau balik cuti pun, saya yang ambil mereka,” kata Mas Aliza.

Tiga beradik tersebut mula belajar di sekolah tahfiz berkenaan pada Januari tahun ini dan ketiga-tiganya sering memberitahu bahawa mereka berasa seronok dapat belajar di situ.

Tragedi kebakaran 5.15 pagi itu mengorbankan 21 pelajar berumur antara 11 hingga 17 tahun serta dua guru yang juga warden. Kesemua jenazah ditempatkan di IPFN HKL untuk proses pengecaman. – BERNAMA


No comments

Loading...