Header Ads

Loading...

Setiausaha Politik Menteri Direman Enam Hari Kes Seleweng Peruntukan RM40 Juta


PUTRAJAYA - Seorang setiausaha politik kepada menteri direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan bernilai RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Majistret Azizah Ahmad mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 61 tahun itu.

Setiausaha politik berkenaan dilaporkan ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada 12.30 tengah hari semalam.


Loading...

Lelaki itu tiba di ke mahkamah pada 9.45 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren, bagaimanapun prosiding kesnya selesai lebih kurang jam 3.30 petang.

Laporan akhbar semalam menyebut setiausaha politik terbabit merupakan individu kelima yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan berkenaan.

Laporan itu juga menyebut individu berkenaan merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak, dan siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 13 September lalu, SPRM telah menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar Datuk berumur 58 tahun, setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, kesemua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 September lalu masing-masing telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

- Bernama

No comments

Loading...