Header Ads

Loading...

MAUT KENA SERANGAN JANTUNG


DUA lelaki meninggal dunia di Segamat dan Petaling Jaya hari ini kerana serangan jantung.

Dalam kejadian pertama, Abdul Halim Mustapha, 53, yang berasal dari Raub, Pahang meninggal dunia di dalam tandas awam di Gerai Majlis Daerah Segamat (MDS) di Kilometer 1, Jalan Segamat ke Muar, pada 11.45 pagi.

Abdul Halim dalam perjalanan menghantar anak perempuannya berusia 20 tahun yang juga penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

Sebaik tiba di gerai berkenaan untuk makan tengah hari, lelaki berkenaan memberitahu anaknya dia mahu ke tandas awam yang terletak berdekatan kerana sakit perut.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Raub Selamat berkata, bagaimanapun selepas hampir sejam kemudian, lelaki itu tidak keluar dari tandas menyebabkan anaknya mula bimbang dan curiga.

"Dengan bantuan orang ramai, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dan kepalanya tersandar di dinding tandas dalam keadaan duduk," katanya.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Segamat untuk tindakan lanjut.

Raub berkata, kes disiasat sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi.

Dalam kejadian kedua, Satulaysan Mutaya, 47, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memandu di Kilometer 23.8 Lebuhraya Lembah Baru Klang (NKVE), Petaling Jaya, kira-kira 4 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang, lapor BH Online.

"Seramai lapan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan BBP Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta jenis BMW dipandunya melanggar pembahagi jalan," katanya.

Mohd Sani berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dipercayai terkena serangan jantung ketika memandu menyebabkan kereta itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba mengambil masa lebih 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

No comments

Loading...